Sinopsis:
“Abang tahu, abang
bersalah dengan Aisya. Tapi, tolonglah… kali ini abang benar-benar minta maaf
dan abang nak rujuk semula dengan Aisya. Abang masih sayangkan Aisya.” –
Tengku Azizul Iskandar Tengku Azman.
“Jika Tengku nak
membenci saya… bencilah. Saya reda dan ikhlas menerimanya. Tapi, tolong jangan
benci anak ini, dia tidak bersalah.” – Aisya Lyana Sofea Ahmad Nordin.
“Kau tu aje yang tak
nak bagi peluang pada diri kau sendiri, Aisya. Cuba kau buka pintu hati kau tu
untuk insan yang bernama lelaki. Aku yakin jika kau membukanya, kau pasti akan
berjumpa dengan pemilik kunci hati kau yang sebenarnya.” – Nadia.
“Ya, memang I berdendam
dengan you, Azizul. You dah jatuhkan maruah I. You batalkan perkahwinan kita
semata-mata kerana Aisya Lyana Sofea. Beberapa bulan I menanggung malu dan
hampir gila disebabkan you, Azizul. Dan hari ini I puas sebab I dapat membalas
dendam terhadap you sekeluarga!” – Sharifah Aleeya Syed Mukriz.
“Esok aku nak kau ikut aku ke pejabat peguam. Aku akan bagi apa yang kau nak.
Dan selepas itu, aku takkan ambil peduli pasal kau lagi, nak mampus ke nak
hidup ke… itu kau punya pasal. Aku takkan masuk campur dalam urusan kau. Begitu
juga dengan kau. Takkan masuk campur dalam urusan aku. Jangan sesekali kau
menuntut cerai dari aku dan kau jangan nak bermimpi yang aku akan ceraikan kau.
Aku nak hidup kau terseksa, Aisya Lyana Sofea Ahmad Nordin. Ini pembalasan
setiap apa yang telah kau lakukan selama ini dan ini juga syarat yang aku
kenakan pada kau pompuan!” – Tengku Hariz Iskandar Tengku Azman.
Kehadiran Tengku Hariz
Iskandar dalam hidup Aisya Lyana Sofea memberi seribu pengertian buat dirinya.
Pintu hati yang telah lama tertutup, perlahan-lahan dibuka buat lelaki itu.
Begitu juga dengan Tengku Hariz Iskandar turut sama merasai dengan apa yang
dirasai oleh Aisya Lyana Sofea.
Dalam situasi yang
tidak diduga, mereka berdua diijabkabulkan sebagai suami isteri di atas
kehendak dan kerelaan hati masing-masing. Langit tidak selalunya cerah, mendung
tidak selalunya hujan. Kasih yang diharap rupa-rupanya racun yang berbisa.
Tengku Hariz Iskandar punya tujuan tersendiri. Aisya Lyana Sofea hidup dalam
kepura-puraan. Dendam dan benci melebarkan jurang di antara mereka berdua di
samping syarat yang menjeruk hati. Rahsia yang selama ini disimpan kemas
terbongkar juga.
Namun segala-galanya sudah terlambat buat Tengku Hariz Iskandar. Aisya Lyana
Sofea menghilang membawa hatinya yang terluka. Membawa bersama derita yang
tidak mudah untuk dilupakan seumur hidupnya.
Adakah Tengku Hariz Iskandar dapat menerima kenyataan bahawa dia akan
kehilangan Aisya Lyana Sofea buat selama-lamanya? Adakah sinar kebahagiaan buat
Aisya Lyana Sofea? Bagaimana pula dengan kehadiran Tengku Azizul Iskandar,
Amirul, Iqbal dan Fahem Daniel? Adakah kehadiran mereka memberi cabaran buat
Tengku Hariz Iskandar untuk menagih kasih semula daripada Aisya Lyana Sofea?
Siapa pula Sharifah Aleeya, Fatin Nabilla dan Marlisa?
“Seratus kali kau
benci padaku, seribu kali kusuka padamu. Seratus kali kau marah padaku, seribu
kali kusabar dengan sikapmu. Seratus kali kau sayang padaku, seribu kali aku
cinta kepadamu. Seratus kali kau setia padaku, seribu tahun akan kutunggu.
Hatimu milikku dan hatiku milikmu.” – Aisya Lyana Sofea Ahmad Nordin.